BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Selasa, 31 Mei 2011

CONTOH KARANGAN PERIBAHASA "Genggam Bara Api Sampai Jadi Arang"

RANGKA KARANGAN


Pendahuluan:

  • maksud peribahasa "genggan bara api sampai jadi arang"


Isi-isi penting:

  • Anuar berhenti sekolah kerana kemiskinan hidup yang dialami sejak kematian kedua-dua orang ibu bapanya akibat kemalangan jalan raya - Anuar berniaga untuk menyara adik-beradiknya
  • Anuar mendirikan rumah tangga dengan gadis kampung bernama Sarah
  • Anuar mendidik anak-anaknya dengan penuh kasih sayang dan sentiasa memantau perkembangan pelajaran mereka
  • Anuar mendapat peluang membesarkan perniagaannya dan berpindah ke bandar


Penutup:

  • Anuar menerima anugerah atas kejayaannya mendidik anak-anaknya dan berjaya menjadi seorang usahawan



CONTOH KARANGAN


             Peribahasa "genggam bara api sampai jadi arang" bermaksud membuat sesuatu perkara harus bersungguh-sungguh sehingga mencapai kejayaan.Peribahasa tersebut dapat dikaitkan dengan peristiwa yang dilalui oleh Anuar.Beliau telah dilahirkan di Kampung Parit Keroma Darat dalam Daerah Muar.Semasa usianya 7 tahun,ibu bapanya telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.Anuar diasuh oleh bapa saudaranya bersama-sama tiga orang adik-beradiknya yang lain.Keadaannya ketika itu sungguh menyedihkan bagai anak ayam kehilangan ibu.

              Sejak tinggal bersama-sama bapa saudaranya yang mempunyai enam orang anak dan bekerja mengait buah kelapa,Anuar mula berasa akan keperitan hidup.Kehidupannya ibarat kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.Anuar sering kali tidak hadir ke sekolah kerana menolong bapa saudaranya mengambil upah mengait kelapa dan megerjakan kebun peninggalan kedua-dua orang tuanya yang luasnya sekangkang kera.Kadangkala Anuar menjalankan aktiviti menjual kuih-muih dikeliling kampung bagi menambah pendapatan bapa saudaranya.Akhirnya,Anuar menempuhi jalan buntu dan mengambil keputusan berhenti sekolah dan menumpukan perhatian berniaga secara kecil-kecilan dengan menjual kuih-muih,pisang goreng dan air batu campur di sebuah warung yang didirikan oleh bapa saudaranya ditepi jalan berhampiran rumah mereka.Bagi Anuar,dia tidak mampu mengejar cita-citanya yang masih belum pasti.Anuar bimbang yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.Anuar berazam mengumpul wang sebanyak RM50 sebulan hasil daripada perniagaannya.Dia bercita-cita untuk menyimpan wang bagi membiayai persekolahan adik-beradiknya pada masa depan.Dia amat bersimpati dengan kesusahan dan keperitan yang ditanggung oleh bapa saudaranya menyara keluarga dan turut membesarkan adik-adiknya.


                Apabila mengenangkan nasib dirinya yang tidak dapat melanjutkan pelajaran,dia sentiasa memastikan adik-adiknya sentiasa berjaya dalam pelajaran supaya menjadi insan yang berguna pada suatu hari nanti.Anuar sangat prihatin dan sangat mengambil berat tentang keperluan adik-beradiknya.Anuar sanggup bersusah payah demi menjamin kebahagian mereka.Anuar menjaga adik-adiknya bagai menatang minyak yang penuh.Akhirnya,berkat kegigihannya,ketiga-tiga orang adiknya telah berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading.


               Setelah ketiga-tiga adiknya berjaya menamatkan pengajian di menara gading dan mendapat pekerjaan yang baik,Anuar mengambil keputusan mendirikan rumah tangga dengan seorang gadis di kampungnya bernama Sarah.Hasil perkongsian hidupnya,Anuar dikurniakan tiga orang cahaya mata.Tanggungjawab Anuar sebagai ketua keluarga semakin bertambah.Wang simpanan hasil perniagaannya selama ini digunakan untuk mengembangkan perniagaannya lagi.Kesusahan hidupnya sekian lama mengajar Anuar erti pengorbanan dalam hidup.Dia juga mengamalkan budaya berjimat cermat dalam kehidupan sehariannya.Anuar telah mengambil keputusan untuk membeli sebuah lori kecil.Dia ingin menjadi seorang peraih buah-buahan,sayur-sayuran dan mengedarkan produk keluaran penduduk kampungnya ke bandar.Dia mengambil langkah berani tanpa memikirkan risiko yang perlu ditanggung sebagai seorang usahawan.Isterinya,Sarah tetap meneruskan perniagaan dengan mengambil alih tugas diwarung yang diamanahkan oleh Anuar dengan dibantu oleh anak-anaknya.


               Kehidupannya yang susah suatu ketika dahulu menyebabkan Anuar berazam untuk mengubah nasib anak-anaknya dengan memberikan pendidikan yang sempurna.Baginya,anak-anak ialah amanah Allah.Tanngungjawab ibu bapa adalah untk menyempurnakan keperluan anak-anak.Sungguhpun terikat dengan waktu dan mulai sibuk dengan tugas hariannya,Anuar mendidik anak-anaknya dengan lembut tetapi tegas dengan curahan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi.Anuar sentiasa prihatin dan memantau pelajaran anak-anaknya pada setiap hari.Anuar menyediakan jadual waktu belajar untuk setiap anak-anaknya.Anak-anaknya dididik supaya berdisiplin,menghormati ibu bapa dan guru-guru mereka.Kini,seorang demi seorang anak-anak Anuar telah berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading mengikut jejak bapa saudara mereka.Cabaran yang paling besar dihadapi oleh Anuar adalah untuk menyediakan wang untuk perbelanjaan persekolahan anak-anaknya.Pengalaman yang ditempuhi ketika usia muda mendidik adik-adiknya sehingga ke menara gading mnejadi pedoman ynag sangat berguna kepada Anuar.Anak-anak Anuar kini mendapat sokongan dan dorongan yang kuat daripada bapa saudara mereka yang telah berjaya.


             Setelah mengharungi cabaran getir dalam kehidupan,Anuar begitu bangga melihat anak-anaknya membesar dan telah berjaya dalam pelbagai bidang.Kejayaan anak-anaknya merupakan hadiah yang amat bernilai  atas pengorbanan,kerajinan,kesabaran dan ketabahannya selama ini.Anak Anuar yang sulung telah berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam bidang kedoktoran,anak keduanya sedang menuntut dalam bidang Kejuruteraan Petroleum di Universiti Teknologi Malaysia,manakala anak bongsunya sedang menuntut dalam bidang perniagaan di England.Anuar meneruskan kehidupannya sebagai seorang peniaga.Memandangkan perniagaan Anuar semakin berkembang,Persatuan Peniaga Daerah Muar telah mendapatkan sebuah lot ruang niaga untuk Anuar membesarkan operasi perniagaannya lagi.Tawaran itu diterima oleh Anuar seperti kata peribahasa orang mengantuk disorongkan bantal.Kini,Anuar dan isterinya telah berpindah ke bandar dan membuka sebuah kedai yang menjadi pusat pengumpulan buah-buahan,sayur-sayuran dan produk industri kecil dan sederhana keluaran pengusaha di kampungnya dan kampung-kampung berhampiran.Anuar telah berjaya menonjolkan dirinya sebagai seorang usahawan yang berjaya.Masyarakat tempatan yang mengetahui sejarah kehidupan Anuar sejak kecil mengagumi kesungguhan dan kegigihan Anuar.Kejayaan keluarga Anuar telah menjadi buah mulut masyarakat sekeliling.


               Kemuncak kepada kejayaan Anuar ialah apabila beliau dipilih untuk menerima anugerah "Usahawan Cemerlang" anjuran Persatuan Peniaga Daerah Muar.Anuar juga telah dicalonkan unuk menerima "Anugerah Keluarga Cemerlang" anjuran Majlis Perbandaran Muar.Sesungguhnya kejayaan yang diraih oleh Anuar membuktikan bahawa azam yang kuat,ketekunan dan ketabahan merupakan paksi kejayaan,bersesuaian dengan peribahasa genggam bara api biar sampai jadi arang.

0 ulasan: